Kenyataan Akhbar: Cuti Peristiwa JDT Menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia Tahun 2023

  • Pentadbir Portal 1
  • Arkib Pengumuman
  • 05:34 pm, 14 Jan 2024

KENYATAAN AKHBAR

YANG BERHORMAT TAN SRI DATO’ DR. HAJI AZMI BIN ROHANI
SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR

CUTI KHAS PERISTIWA SEMPENA KEJAYAAN GEMILANG SEDEKAD PENGUASAAN PASUKAN BOLA SEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) MENJUARAI LIGA SUPER MALAYSIA DAN PIALA MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim ( JDT ) telah melakar sejarah gemilang bola sepak negeri Johor apabila menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-10 berturut-turut, suatu dekad dominasi Pasukan Bola Sepak JDT dalam kancah bola sepak negara.

Justeru itu, pada 16hb Disember 2023, Sabtu, jam 8.30 malam, akan diadakan sambutan meriah bagi meraikan peristiwa bersejarah tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, selepas perlawanan menentang Penang FC.

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 17 Disember 2023, sebagai Hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor.

Pemberian Cuti Khas Peristiwa ini selain bertujuan meraikan kejayaan gemilang Pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) , malah merupakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada pihak terlibat dan rakyat Negeri Johor yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah melakar sejarahnya yang tersendiri dalam arena bola sepak negara dan juga meraikan kejayaan Pasukan Bola Sepak JDT meraih kejayaan dalam menjulang trofi Piala Malaysia pada malam semalam.

Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].

TAN SRI DATO’ DR. HAJI AZMI BIN ROHANI
Setiausaha Kerajaan
Johor
9hb Disember 2023