DYAM Tunku Mahkota Johor

  • Pentadbir Portal 1

DULI  YANG AMAT MULIA TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM

D.K., S.P.M.J, S.S.I.J, P.I.S

TUNKU MAHKOTA JOHOR

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah daripada enam orang adik-beradik.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan persekolahan di Australian International School Singapore. Pada tahun 1999, Duli Yang Amat Mulia Tunku melanjutkan pelajaran di Hale School, Perth, Australia sehingga akhir tahun 2002.

Antara sukan kegemaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ialah polo dan bola sepak. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam sukan polo amat terserlah. Kehebatan Duli Yang Amat Mulia berkuda terbukti jelas apabila Duli Yang Amat Mulia Tunku dianugerahi ‘Best In Riding‘ di Dehra Dun, India yang selanjutnya mengangkat kecemerlangan kepada ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A). Kini DYAM Tunku Mahkota Johor bergiat aktif dalam bidang bola sepak. Selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Februari 2012, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah membangun, menerajui dan mengangkat pasukan bola sepak Johor ke tahap berprestasi tinggi dan disegani. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dalam bidang bola sepak semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Penasihat kepada Presiden FAM pada 3 Oktober 2014.

Sebagai bakal Raja, pendidikan dan disiplin yang tinggi amat dititikberatkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail. Dengan titah perkenan Seri Paduka nendanya Almarhum Sultan Iskandar, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A), Dehra Dun, India pada 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004 dan telah ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ditempatkan di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur, India selama dua tahun mulai 15 Disember 2004 hingga 14 Disember 2006.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama menyertai rejimen berkuda tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J. Abdul Karim sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007. Majlis ini dihadiri ramai tetamu kenamaan termasuk Presiden Russia, Vladamir Putin. Pada 14 Julai hingga 23 September 2008, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah melaksanakan Kursus Kepakaran Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing dan pada 9 Oktober hingga 19 November 2008 mengikuti Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULAPAK). Pada 1 Ogos 2010, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dianugerahi Beret Hijau Kehormat Grup Gerak Khas (GGK) atas kepimpinan dan sumbangan fikiran dalam mempertingkatkan keupayaan GGK.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah dikurniai Almarhum Sultan Iskandar Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga, Setia Mahkota Johor (S.M.J), Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama, Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J), Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (D.K II) dan Pangkat Pertama (D.K I). Bermula zaman pemerintahan paduka ayahandanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah dikurniai Darjah Sultan Ismail Johor Yang Amat Diberkati Pangkat Pertama, Dato’ Sri Setia Sultan Ismail (S.S.I.J) dan Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Pertama (P.I.S I).

Pada 30 Jun 2005 Almarhum Sultan Iskandar telah melantik Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail sebagai Waris Kedua Takhta Kerajaan Johor selepas Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor waktu itu. Pada 8 April 2006, Duli Yang Amat Mulia Tunku telah dimasyurkan sebagai Raja Muda Johor dan seterusnya menggunakan gelaran rasmi Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Raja Muda Johor. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah dilantik dan dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada hari Khamis 28 Januari 2010 bersamaan 12 Safar 1431 Hijrah.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail pernah dilantik sebagai pemangku Raja Johor, kali terakhir pada 29 September 2012. Selaku Pemangku Raja Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah meraih ilmu dan pengalaman memerintah negeri dan sekali gus memantau dan melihat sendiri hal dan keadaan rakyat negeri Johor. Begitu juga penyertaan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dalam siri program Kembara Mahkota Johor (KMJ) telah memberi peluang keemasan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail bertemu dan bersera serta menjalin hubungan silaturahim dengan rakyat negeri Johor.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah mendirikan rumahtangga dengan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Binti Bustamam pada hari Jumaat, 24 Oktober 2014.