DYMM Sultan Johor

DYMM Sultan Johor

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR

D.K (JOHOR), D.K (PERAK), D.K (KELANTAN), D.K. (PERLIS), D.K (SELANGOR), D.K (NEGERI SEMBILAN),
D.K (TERENGGANU), D.K.M.B. (BRUNEI), S.P.M.J, S.S.I.J, S.P.M.T, S.M.N, S.P.M.K, S.P.M.P, P.I.S

SULTAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA’ZIM

Diputerakan pada 22 November 1958 Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dididik dan diasuh untuk menjadi seorang Raja yang cerdik, berpengetahuan, berwibawa dan berdaulat. Tuanku mengikuti jejak langkah kesultanan sebelum baginda dengan melibat diri dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang dijadikan asas untuk membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan. Kepimpinan Tuanku terserlah apabila setelah tamat persekolahan Tuanku dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi. Kemudiannya di atas jemputan khas Tuanku mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia USA. Selain dari itu Tuanku juga menjalani latihan ‘airborne‘ dan ‘ranger‘ untuk pegawai infantri. Selepas berehat dua bulan, Tuanku meneruskan latihan ‘American Special Forces‘ dan ‘Pathfinder’ dimana Tuanku telah membuat 19 terjunan payung terjun, lapan darinya pada waktu malam. Tuanku dipilih dan ditauliahkan sayap dan dijadikan sebagai seorang komando. Tuanku juga ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat). Selain itu Tuanku melakukan beberapa penerjunan di Bandung Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia.

Sekembalinya ke Johor, Tuanku dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri. Dalam masa yang sama Tuanku menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia. Dengan kecekapan yang ditunjukkan Tuanku dibenarkan mengendalikan penerbangan helikopter perseorangan. Dengan kesungguhan dan ketabahan, Tuanku berjaya lulus satu kursus lebih awal dari peserta lain. Tuanku dikurniakan dan menerima sayap pada 26 April 1982 dari Sultan Iskandar dalam satu upacara perbarisan dalam mana Tuanku menjadi ketuanya.

Tuanku juga menyertai selama tiga bulan latihan tentera laut di Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia di Lumut, sekaligus melengkapkan Tuanku sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.

Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan untuk menjadikan Raja yang berwibawa dan dihormati, Tuanku meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts USA. Tuanku menyertai dan melengkapi dua kursus, ‘Southeast Asian Strategic Studies’ dan ‘International Laws of the Seas’.

Tuanku berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di antara lain di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian untuk mempelajari selok belok pengurusan dan pentadbiran negeri.

Tunku Ibrahim dilantik sebagai Waris apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar menaiki takhta kerajaan Johor dan dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong. Tuanku memanfaatkan tempoh sebagai Pemangku Raja untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.

Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

Tuanku mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan puteri, iaitu:

  1. DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
  2. YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim
  3. YAM Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor
  4. YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor
  5. YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor
  6. YAM Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor

DYMM Tuanku Sultan Ibrahim mempunyai banyak keistimewaan dan pencapaian yang membanggakan, selain keperibadian yang menawan hati rakyat. Sultan yang berjiwa rakyat ini cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti yang berteraskan kerja sosial yang diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Ibrahim sejak 2001 ketika Tuanku menjadi ‘Tunku Mahkota Johor’. Program Kembara Mahkota Johor dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dijadikan acara tahunan yang disertai YAB Menteri Besar dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, bagi melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi disemua 10 daerah di negeri Johor. DYMM Tuanku Sultan Ibrahim juga turut membabitkan ahli keluarganya, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan putera puteri Tuanku menyertai program mesra rakyat ini.

Dalam Kembara Mahkota pertama yang diadakan pada 2 hingga 4 Julai 2001, penjelajahan tiga hari dua malam, diiringi oleh 28 buah motosikal berkuasa tinggi, menyusuri setiap pelosok negeri merangkumi lapan daerah di negeri Johor sejauh kira-kira 870 kilometer. Ekspedisi bermotosikal yang julung kali diadakan itu bertujuan mendekatkan istana dengan rakyat selain mempromosikan industri pelancongan. Lantaran keberkesananya, Tunku Mahkota ketika itu mengumumkan Kembara Mahkota Jelajah Johor, dijadikan acara tahunan dan meletakkan matlamat menjadikannya sebagai program amal bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Tunku Mahkota ketika itu bertitah, Kembara Mahkota Jelajah Johor juga bermatlamat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Menerusi ekspedisi ini, DYAM Tunku Mahkota dapat melihat kesetiaan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India menyambut ketibaannya di merata tempat. Siri kedua program ini berlangsung selama empat hari dan tiga malam iaitu pada 25 hingga 28 Mac 2002 merentasi tujuh daerah dengan lebih 15 destinasi sejauh 1002 kilometer melalui jalan raya.

Siri ketiga Kembara Mahkota tahun 2003, yang berlangsung selama empat hari tiga malam mulai 8 hingga 11 Mei, meneruskan tumpuan terhadap kerja amal dan kebajikan, antaranya Tunku Mahkota Johor telah menyumbangkan komputer, pakaian dan basikal kepada murid-murid miskin di luar bandar. Melalui Kembara Mahkota, rakyat merasakan bertuah bernaung di bawah institusi istana Johor yang sentiasa memberi perhatian terhadap soal kebajikan, kesejahteraan dan kepentingan pendidikan rakyat. Kembara Mahkota juga memberi faedah besar kepada Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Johor. Para pemimpin negeri dan pegawai-pegawai kerajaan yang mengambil bahagian dalam acara berprestij ini, dapat melihat sendiri dan mengumpul maklumat mengenai aspirasi dan keperluan rakyat secara lebih jelas. Berbekalkan pengalaman yang dilalui dan maklumat yang diperolehi, mereka berupaya melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang tinggal di luar bandar.

DYAM Tunku Ibrahim ibni Sultan Iskandar setelah menyelesaikan penjelajahan siri ketiga tahun 2003 sejauh 1,116 kilometer, bertitah:

Saya tidak menjangka sambutan rakyat yang begitu hangat di setiap persinggahan. Saya amat terharu melihat rakyat keluar beramai-ramai menyambut saya serta rombongan. Sesungguhnya saya amat tersentuh dengan sambutan hangat yang telah diberikan oleh rakyat. Pada mulanya saya hanya ingin meneruskan tradisi mulia Ayahanda saya, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk menziarah rakyat jelata di segenap pelusuk negeri. Sambutan luar biasa yang telah diberikan oleh rakyat Johor telah menguatkan azam saya untuk meneruskan program Kembara Mahkota Johor. Program ini menjadi satu acara tahunan yang saya sentiasa nanti-nantikan sebagai salah satu cara untuk saya berdamping rapat dengan rakyat jelata.

Kini, Kembara Mahkota Johor telah pun berlangsung selama empat belas tahun, melalui laluan darat (motosikal, pacuan 4 roda, keretapi dan bas), jalan air (bot dan kapal).

Pada 5 Febuari 2012, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah memperkenankan Bandar Muar (Bandar Maharani) menjadi Bandar Diraja ketika Tuanku menghadiri sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat negeri Johor di Masjid Sultan Ibrahim, Bandar Maharani, Muar. Terdapat beberapa sebab DYMM Sultan Johor bertitah bahawa Bandar Maharani akan diisytiharkan sebagai Bandar Diraja.

Bandar Maharani adalah bandar kedua terpenting selepas Bandaraya Johor Bahru. Terletaknya Istana Tanjung yang menjadi Istana Persemayaman ketika Tuanku berangkat ke Bandar Maharani. Di Bandar Maharani, semenjak Almarhum Sultan Abu Bakar, diadakan beberapa kali sambutan Hari Keputeraan Sultan dan Istiadat Penganugerahan Bintang Kebesaran. Hubungan istana di Johor Bahru yang begitu rapat dan akrab dengan daerah Muar membawa kepada pengisytiharaan Bandar Muar oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 12 Ogos 1887 sebagai Bandar Maharani yang bermaksud ‘Bandar Permaisuri Sultan’ merujuk kepada Maharani Fatimah.

Semenjak bandar Muar dibuka pada tahun 1884. Baginda Sultan Abu bakar dan DYMM Sultan-sultan selepasnya sering berangkat ke Muar. Kerabat-kerabat Diraja semenjak pembukaan Muar dilantik mentadbir Muar, antaranya YM Ungku Sulaiman, YM Ungku Abdul Majid, YM Tunku Temenggung Ahmad dan YM Ungku Mohd Khalid. Pemilihan Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja kerana Tuanku menggemari suasana bandar yang tenteram dan harmoni. Dalam satu istiadat yang bersejarah, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mengisytiharkan Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja Johor pada 24 November 2012, sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan DYMM Tuanku pada 22 November 2012.

DYMM Sultan Ibrahim sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa. Turut menjadi kegemaran Tuanku ialah sukan tenis, luncur layar, menembak, memandu dan payung terjun. Tuanku juga telah mencipta sejarah memperolehi Lesen Memandu Kereta Api Kelas 26 setelah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan menggunakan alat ‘turn table’. Tuanku juga telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Sultan pertama memandu kereta api secara rasmi. Majlis penyampaian lesen memandu kereta api ini disempurnakan oleh Dr. Aminuddin Adnan, Presiden Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB) pada 29 Jun 2010 di Stesen Kereta Api Gemas.

Sifat-sifat kepimpinan, ketokohan dan keperibadian yang menawan hati rakyat ini telah menjadikan DYMM Tuanku seorang sultan yang amat disenangi dan disayangi oleh seluruh rakyat Negeri Johor.

Bantu kami perbaiki perkhidmatan kami dengan maklumbalas anda.
Kajian Kepuasan Pelawat Portal
X